Dr Max Pemangku Presiden PBS Berkuatkuasa Serta Merta

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah mengambil alih jawatan pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkuatkuasa serta merta.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyerahkan teraju kepimpinan PBS kepada Ongkili pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama yang diadakan pada Jumaat di ibu pejabatnya di sini.

“Beliau (Pairin) berehat daripada melaksanakan tugas presiden dan akan terus menjalankan tugas menteri dan kerja-kerja komuniti sehingga akhir penggal,” kata Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selepas menyampaikan ucapannya, Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, beredar bagi membolehkan Ongkili mempengerusikan mesyuarat tersebut.

“Tan Sri (Pairin) masih berada untuk membantu, memberi bimbingan danbekerjasama dengan parti pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mositun.

Beliau berkata, Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air , akan bertanggungjawab bagi semua perkara yang menyentuh parti termasuk persiapan untuk pilihan raya akan datang.

Pelantikan Ongkili memasuki fasa kedua pelan peralihan parti.

“Tan Sri (Pairin) menggesa pemimpin parti di semua peringkat untuk bekerjasama, terus bersatu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang, dan memberi sokongan yang sama kepada pemangku Presiden,” katanya.

Pada 29 Julai tahun lepas, Pairin memulakan proses peralihan kuasa apabila beliau menyerahkan kuasa kepada Ongkili, yang menjadi Timbalan Presiden selama 23 tahun, untuk menjalankan tugas presiden parti. -Bernama

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow