Dua Suspek Curi Motor di Ranau Kena Cekup

RANAU: Tindakan pantas pihak polis berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki yang disyaki pencuri dan penagih dadah beberapa jam selepas mereka mencuri sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata tangkapan dan rampasan dibuat oleh Team Task Force dan Unit MPV BPJKK IPD Ranau antara jam 4.30 dan 6 pagi, Isnin lepas.

“Kita menerima laporan bahawa sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik seorang penduduk kampung telah dicuri kira-kira jam 2.30 pagi di Kampung Naradu Kundasang.

“Berpandukan laporan, Team Task Force dan Unit MPV IPD Ranau membuat rondaan serta semakan CCTV di Stesen Minyak Petronas Kampung Kilimu dan mendapati motosikal terbabit ada singgah di stesen itu.

“Rakaman CCTV turut menunjukkan dua suspek terlibat, di mana salah seorang daripadanya kemudian memandu sebuah lori dan beredar dari stesen itu, manakala seorang lagi menunggang motorsikal terbabit. Mereka menghala ke arah Jalan Ranau-Telupid,” katanya.

Farhan berkata suspek yang memandu lori ditahan di tepi jalan kira-kira jam 4.30 pagi, manakala rakannya ditahan di Kampung Nalapak Ranau, kira-kira jam 6 pagi ketika sedang lena di sebuah gerai menjual sayuran.

“Turut ditemui bersama salah seorang suspek ialah satu paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah. Siasatan awal menunjukkan suspek mengaku mencuri motosikal terbabit.

“Kedua- dua suspek berumur 37 dan 23 berasal dari Batu 16 Jalan Apas Tawau. Barang rampasan dibawa balik ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Loading...

Join the Discussion

Your email address will not be published. Required fields are marked *

arrow