Anggota Polis Maut dalam Kemalangan

KINABATANGAN, 2 Jan – Seorang anggota polis yang berkhidmat di Pasukan Gerakan Am Lahad Datu maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas di jalan berselekoh dan melanggar tebing parit di Kilometer 122 Jalan Sandakan-Lahad Datu dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan A Sahak Rahmat berkata dalam kejadian 8.15 malam itu mangsa Amrishal Amat,35, yang memandu bersendirian maut di tempat kejadian, dan mayat mangsa dikeluarkan sepasukan bomba dan dihantar ke Hospital Kinabatangan.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu dan apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tebing parit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sahak berkata ketika kejadian, jalan licin kerana hujan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Loading...

Leave a Reply

arrow